BELUM selesai isu lelaki libas parang di jalan raya Bintulu, tular pula rakaman terbaru seorang lelaki bersenjata cuba mengganggu seorang warga emas di Bintulu, Sarawak.
Rakaman yang berdurasi seminit itu mencetuskan kebimbangan orang awam terutama warga tempatan apabila pelaku berani bertindak mengganggu sedemikian secara terbuka.
Pada awalnya, seorang saksi kejadian, Florence Chel Patrick meletakkan kenderaannya berhampiran kawasan tersebut dan anaknya mulai menegur mangsa.
"Saya kemudiannya menyuruh anak saya memberikan wang sebanyak RM4 kepada warga emas terbabit.
"Secara tiba-tiba lelaki kurang waras tersebut menghampiri lelaki tua itu dan terus membuat kacau," tulisnya.
Lebih malang, Florence mendakwa, suspek terus memukul warga emas yang berada di hadapan kedai dengan menggunakan sebatang besi buruk yang dibawa bersama pada masa itu.
Kejadian yang terjadi di hadapan matanya mencetuskan rasa sayu sehingga dia bertindak menyebarkan kejadian itu di media sosial.
"Makin menjadi orang gila di Bintulu ini. Orang lalu depan kedai pun kena pukul," tulisnya lagi.
Menjengah ke ruangan komen, rata-rata warganet berasa pilu melihat kejadian itu.
"Pergi ke balai, buat laporan polis dan tunjukkan video itu sebagai bukti," tulis Elizabeth Sulah Janting.
"Oh tidak, kasihan lelaki tua itu... Hati-hati cuba jangan keluar kereta dahulu," tulis Lyana Myhea.
Setakat berita ini ditulis, belum ada kenyataan daripada pihak berkuasa berhubung kejadian itu.— Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram