
SEBANYAK lima buah kenderaan termasuk ambulans terlibat dalam kemalangan berasingan di sebuah kawasan jalan yang sama di Kampung Merchong, Pekan, Pahang pada Ahad.
Menerusi beberapa video yang dimuat naik di Facebook Kefri Abdullah, kejadian berlaku di sebuah selekoh jalan yang sama ekoran keadaan jalan yang dipercayai agak berbahaya.
Dalam video dashcam yang dikongsikan pengguna, sebuah kereta jenis Proton Wira biru dilihat berpusing sebelum terbabas ke tepi semak selepas melalui selekoh tersebut.
Manakala, melalui satu lagi video lain, salah seorang saksi sempat merakam detik-detik sebuah ambulans yang turut terbabas melanggar sebuah kenderaan lain dalam kemalangan sebelumnya.
Menerusi rakaman tersebut, ambulans yang terbabas berasap dan beberapa penumpang dan jururawat turut dilihat sempat keluar menyelamatkan diri ketika kemalangan berlaku.
Dalam pada itu, beberapa orang awam dilihat berusaha mengawasi keadaan sekitar lokasi kejadian.
Berdasarkan informasi yang dikongsikan orang awam, kemalangan sering berlaku di selekoh jalan itu sebelum ini.
"Kejadian kemalangan dalam tempoh tiga jam babitkan lima buat kenderaan. Kejadian berasingan walaupun berhati-hati namun kemalangan tak dapat dielakkan (seperti) sudah tersurat.
"Harap pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) dan berkaitan ambil tindakan luruskan jalan di kawasan itu," tulis Kefri Abdullah.
"Hati-hati semua kawasan ini sering berlaku kemalangan tak kira siang atau malam," kongsi Suzana Mohamad.
Sementara itu, belum ada sebarang kenyataan yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa berhubung kemalangan setakat ini. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram