[VIDEO] Pengguna jalan raya terkandas, air naik di jalan menuju ke Putrajaya dan Cyberjaya


  • Tular
  • Isnin, 13 Nov 2023

Seorang penunggang motosikal tetap berusaha melalui jalan yang dinaiki air akibat hujan lebat di kawasan menuju Putrajaya dan Cyberjaya pada Isnin.

MUSIM tengkujuh yang melanda hampir kesemua negeri di Malaysia sememangnya menyebabkan banjir kilat terutama di kawasan rendah.

Salah satu negeri yang kini dinaiki air ialah di Selangor yang situasinya dilihat semakin serius sehingga menyekat perjalanan pengguna jalan raya.

Pada Isnin, kawasan jalan menuju ke Putrajaya dan Cyberjaya dari Puncak Jalil, Seri Kembangan, Selangor dilaporkan terputus selepas dinaiki air akibat hujan lebat berterusan.

Dalam pada itu, hujan lebat itu dikatakan berlaku pada waktu petang.

Menerusi video yang dikongsikan di Facebook Bernama, terdapat beberapa penunggang motosikal yang tidak dapat melalui jalan tersebut dan terpaksa menunggu di kawasan selamat.

Pada masa sama, seorang penunggang motosikal lain dilihat berusaha melalui jalan yang dipenuhi air yang hampir menenggelamkan separuh daripada bahagian motosikalnya ketika itu.

Manakala, sebuah lori dilihat dapat bergerak melalui kawasan banjir itu dengan mudah oleh kerana strukturnya yang besar.

Pada masa sama, rata-rata warga maya turut memberi reaksi terhadap banjir yang berlaku di kawasan tersebut.

"Sini selalu banjir...(kalau) hujan lebat lori sahaja boleh 'terkam' (lalu)," tulis Sham Omar.

"Banyak longkang tersumbat," komen Asraf Pauzi.

Bagaimanapun, belum ada sebarang kenyataan yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa berhubung kejadian itu setakat ini. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram