Ada kejutan buat pengguna 'prepaid' Isnin ini — Fahmi


  • Massa
  • Jumaat, 14 Apr 2023

Berita baik buat pengguna pelan prabayar akan dimaklumkan oleh Fahmi menjelang Isnin depan.

MENTERI Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil, akan mengumumkan khabar gembira kepada pengguna pelan prabayar (prepaid) menjelang Isnin ini.

Beliau berkata, pihaknya sedang berbincang mengenai perkara tersebut dengan beberapa syarikat telekomunikasi utama di negara ini untuk dipersetujui.

"Pada waktu ini saya belum bersedia untuk membuat sebarang pengumuman tetapi harapan saya dalam masa yang singkat ada beberapa perkara dapat kita persetujui, insya-ALLAH saya harap ada berita baik terutama bagi pengguna prabayar, kita akan tahu dua tiga hari, menjelang Isnin ini,” katanya kepada media selepas program Kasih@HAWANA 2023 di Kuala Lumpur, pada Jumaat.

Mengulas lanjut tentang dasar pelaksanaan rangkaian 5G oleh Digital Nasional Berhad (DNB), beliau berkata, ia akan dibentangkan kepada Jemaah Menteri minggu hadapan.

Fahmi berkata, pihaknya telah mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Selasa lalu dan terdapat beberapa perkara yang diminta oleh Anwar untuk diteliti semula.

Dalam perkembangan lain, Fahmi turut mengulas tentang tindakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan seorang pegawai kanan pejabat Menteri Sumber Manusia, V. Sivakumar berhubung urusan pengambilan pekerja asing.

Katanya, orang ramai perlu memberi ruang kepada pihak berkuasa berkenaan untuk menjalankan tugas sebaiknya.

"Sekiranya ada apa-apa kes yang dibawa ke mahkamah kita akan ikuti (perkembangan) dan sebelum itu kita tak boleh prasangka kerana kita tak ada maklumat yang tepat dan penuh.

"Dan semua menteri telah diminta untuk memberi peringatan (kepada pegawai) dan saya sendiri dalam pasca-Kabinet ada beri peringatan kepada semua supaya berhati-hati kerana jangkaan adalah tinggi bahawa kerajaan ini komited untuk membersihkan Malaysia daripada gejala rasuah,” katanya.

Pada Khamis, Sivakumar dalam satu kenyataan memaklumkan beliau dan kementerian akan memberi kerjasama penuh kepada SPRM berhubung penahanan seorang pegawai di pejabat menteri itu bersabit isu membawa masuk pekerja asing.

Mengenai permohonan pengampunan penuh kepada bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, Fahmi berkata, beliau tidak boleh mengulas lanjut kerana tidak mendapat sebarang maklumat mengenainya. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram