AIRASIA tawar sebanyak 11,400 tempat duduk dengan tambang rendah tetap untuk laluan Sabah dan Sarawak sempena Hari Raya Aidilfitri pada tahun ini.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, ini adalah kali kedua beliau merasmikan tambang tetap khas AirAsia sempena musim perayaan pada 2023 selepas sambutan Tahun Baharu Cina pada Januari lalu.
Beliau berkata, tambang rendah tetap itu akan membolehkan ribuan penduduk balik kampung bersatu semula dengan yang tersayang pada harga yang berpatutan.
"Saya berharap syarikat penerbangan lain turut menyambut seruan ini dengan menambah kapasiti penerbangan supaya sama-sama kita dapat memberikan peluang kepada rakyat untuk pulang ke kampung dan merayakan Aidilfitri akan datang,” katanya ketika berucap pada majlis pengumuman kadar tambang tetap AirAsia ke Sabah dan Sarawak sempena Hari Raya Aidilfitri di AirAsia RedQ, Sepang, Selangor pada Selasa.
Tambang rendah tetap itu meliputi penerbangan antara Kuala Lumpur ke Kuching, Sibu, Bintulu dan Miri, serta dari Johor Bahru ke Kuching, Sibu dan Miri pada harga RM199 sehala. Ia juga termasuk penerbangan dari Kuala Lumpur ke Kota Kinabalu dan Tawau, serta Johor Bahru ke Kota Kinabalu pada hanya RM249 sehala.
Tambah Loke lagi, AirAsia akan turut menambah 62 penerbangan tambahan untuk memastikan syarikat penerbangan itu dapat memenuhi permintaan pelancong pada musim perayaan.
Tempahan untuk tambang rendah tetap akan dibuka untuk orang awam pada pukul 6 petang Selasa. Tempoh perjalanan adalah antara 19 hingga 21 April dan antara 28 hingga 30 April. — The Star
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram