Persenda antara satu sama lain punca sekumpulan remaja bergaduh di Ara Damansara


  • 112
  • Ahad, 19 Feb 2023

Sepasukan polis dari IPD Petaling Jaya berjaya menahan tiga remaja di sekitar kawasan Ara Damansara.

PADAH terlibat dalam insiden pergaduhan di taman perumahan awam dan kawasan tempat letak kenderaan pasar raya di Ara Damansara, Petaling Jaya, Selangor tiga remaja ditahan polis pada Jumaat.

Suspek yang berusia 14 hingga 16 tahun ditahan di sekitar kawasan berkenaan pada pukul 1.10 pagi oleh sepasukan polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, kejadian pada 11 malam itu menyebabkan ada di antara mereka cedera akibat pergaduhan dua kumpulan berkenaan.

"Siasatan awal mendapati kejadian itu dipercayai berpunca dari cemuhan dan mempersendakan antara dua kumpulan terbabit," katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Jelas Mohamad Fakhrudin, tiga remaja yang ditahan itu kini direman selama empat hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan.

Dalam kes berasingan, seramai dua lelaki ditahan kerana disyaki terlibat dalam kes pergaduhan di sebuah gerai makanan di Taman Medan, Petaling Jaya, Selangor pada Sabtu.

Mohamad Fakhrudin berkata, pihaknya menahan dua lelaki berusia 28 tahun dan 32 tahun serta merampas sebilah parang dan satu bilah pisau.

"Kedua-dua individu itu direman empat hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram