Ada yang guna kad Touch 'n Go mangsa tragedi tanah runtuh Batang Kali, polis siasat dakwaan keluarga


  • 112
  • Ahad, 01 Jan 2023

Terdapat individu tidak bertanggungjawab yang didakwa menggunakan kad Touch 'n Go milik mangsa tragedi tanah runtuh Batang Kali. — Bernama

POLIS menyiasat dakwaan satu hantaran di laman Facebook bahawa terdapat individu tidak bertanggungjawab telah menggunakan barangan milik mangsa tragedi insiden tanah runtuh di tapak perkhemahan popular di Father's Organic Farm, Gohtong Jaya, Batang Kali, Selangor.

Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan Suffian Abdullah berkata, hantaran itu dipercayai dimuat naik oleh seorang daripada ahli keluarga mangsa tragedi yang berlaku pada 16 Disember lepas.

Katanya, hantaran itu mendakwa terdapat individu tidak bertanggungjawab telah menggunakan kad Touch 'n Go milik mangsa.

"Pada Ahad, kami telah menerima dua laporan berhubung insiden itu pada pukul 2.47 petang.

"Satu kertas telah dibuka bagi menyiasat kes berkenaan mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan atas kesalahan mencuri," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Justeru, Suffian menasihati masyarakat supaya bertenang dan tidak gusar dengan isu yang tular itu.

Ujarnya, ahli keluarga mangsa juga dinasihat supaya menghubungi polis sekiranya mempunyai isu berkaitan kehilangan barangan milik mangsa.

Orang ramai diminta agar tidak mengeluarkan sebarang kenyataan tidak tepat atau menularkan berita palsu sebaliknya merujuk kepada polis atau pihak berkuasa bagi mendapatkan maklumat yang tepat.

"Orang ramai yang mempunyai sebarang pertanyaan boleh berhubung terus dengan Ibu Pejabat Polis Daerah Hulu Selangor di talian 03-60641223," katanya.

Tragedi tanah runtuh yang berlaku pada pukul 2.46 pagi itu telah mengorbankan 31 nyawa dengan 12 daripadanya adalah kanak-kanak dan seorang bayi lelaki berusia setahun.

Seramai 61 mangsa dilaporkan terselamat dalam insiden itu. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram