BN tambah manifesto tanda prihatin kepada rakyat Sabah


  • Politik
  • Rabu, 09 Nov 2022

BN melakukan beberapa penambahan ke atas manifesto mereka bagi memberi fokus kepada pengundi Sabah.

BARISAN Nasional (BN) melakukan beberapa penambahan terhadap manifesto bagi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) agar dapat melibatkan pengundi Sabah.

Pengerusinya, Datuk Seri Bung Moktar Radin yang juga Timbalan Ketua Menteri Sabah bagaimanapun tidak memperincikan perkara tersebut, namun akan menjelaskannya sebelum tarikh pengundian pada 19 November depan.

"Manifesto mesti datang dari pemimpin Sabah dan kita sudah rangka serta akan bentangkan nanti. Sudah hampir siap, tidak banyak penambahan, cuma ada penambahan dua tiga perkara sebab manifesto BN yang diumumkan sudah cukup lengkap," katanya.

PRU15

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri ceramah perdana bersama calon Parlimen Sepanggar Datuk Yakub Khan di Dewan Kampung Warisan, Kota Kinabalu pada Selasa.

Pada Isnin lalu, BN melancarkan manifesto dengan menampilkan Perancangan Amal dan Usaha BN atau ringkasnya PADU sekiranya diberi mandat pada PRU15.

Mengulas lanjut, Bung Moktar yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Lamag berkata, penambahan manifesto itu adalah atas permintaan BN Sabah yang juga turut dipersetujui BN Pusat selain realistik dan relevan serta bukan semata-mata hanya untuk memancing undi rakyat.

Beliau yang juga calon BN Parlimen Kinabatangan tidak pernah merestui mana-mana calon yang bertanding atas tiket Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) yang merupakan komponen parti itu kerana ia melanggar perjanjian dengan Parti Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

Dalam masa sama, Bung Moktar menegaskan tiada tindakan yang boleh diambil memandangkan calon berkenaan menggunakan loga PBRS untuk bertanding.

Untuk rekod, Sabtu lepas, calon PBRS Datuk Ewon Ebin disahkan bertanding di Parlimen Ranau yang menyaksikan pertandingan lima penjuru membabitkan penyandangnya Datuk Jonathan Yasin (GRS), Apirin Jahalan @ Taufik Sham (Pakatan Harapan), Azizul Julirin (Pejuang) dan Markos Siton (Warisan). — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram