PELAN pembangunan institusi pendidikan bersepadu bernilai RM50 juta akan diserahkan kepada Majlis Bandaraya Pulau Pinang bulan depan.
Pengerusi lembaga pengarah Persatuan Sekolah Cina Bersekutu Han Chiang Pulau Pinang, Datuk Seri Ooi Soo Hing berkata, pelan itu akan merangkumi bangunan empat tingkat dengan naik taraf kepada dua blok sedia ada dan kemudahan tempat letak kereta.
Beliau berkata, kerja-kerja pembangunan dijangka bermula tahun depan, yang mana akan mengambil masa kira-kira 18 bulan untuk disiapkan.
“Bangunan baharu itu akan menempatkan jabatan pentadbiran utama, dewan kuliah dan asrama.
“Apabila selesai, populasi pelajar dijangka meningkat antara 6,000 dan 7,000 daripada 4,000 sekarang di Sekolah Rendah Han Chiang, Sekolah Tinggi Han Chiang dan Kolej Universiti Komunikasi Han Chiang (HCUC).
“Rancangan kami adalah untuk menyediakan institusi pendidikan yang lengkap dan bersepadu untuk pelajar di wilayah utara dan mungkin di seluruh Malaysia,” katanya.
Jelasnya, apabila semua pembangunan selesai, ia akan dikenali sebagai Bandaraya Pendidikan Han Chiang.
Soo Hing berkata, pihak lembaga persatuan sudah mempunyai RM32 juta untuk projek berkenaan, dan ia berharap dapat meningkatkan dana melalui alumni HCUC dan sumbangan orang ramai.
Katanya, bagi mereka yang berminat untuk menderma boleh menghubungi HCUC (04-283 1088).
Soo Hing berkata demikian pada sidang media baru-baru ini selepas melancarkan projek itu bersama Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Pembinaan HCUC Tan Sri Tan Kok Ping dan arkitek, Mei Chee Seong di tapak projek di Jalan Lim Lean Teng.
Turut hadir Ketua Pembangunan Pembinaan HCUC, Datuk Seri Hong Yeam Wah.
Mei, dari aLM Architects, berkata, dia merancang konsep ruang terbuka untuk menghubungkan ketiga-tiga sekolah, dan bangunan baharu itu akan mempunyai gaya seni bina dengan elemen media.
HCUC, sebuah institusi pengajian tinggi bukan berasaskan keuntungan di Pulau Pinang namun terkenal dengan pendidikan yang mampu dimiliki. — The Star
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram