Pembantu rumah bekerja macam biasa lepas rembat duit ASB RM50,000 majikan di Ampang


  • 112
  • Khamis, 22 Sep 2022

Suspek tidak melarikan diri dan masih bekerja seperti biasa selepas kejadian. — Gambar Hiasan

KETUA Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner, Mohamad Farouk Eshak berkata, pihaknya telah menahan seorang pembantu rumah warga asing kerana disyaki mencuri wang majikannya sebanyak RM50,000 di sebuah rumah di Ampang, Kuala Lumpur pada Rabu.

Menurut Mohamad Farouk, suri rumah berusia 37 tahun itu menyedari wang tunai di dalam beg tangan yang diletakkan dalam stor rumahnya telah tiada pada pukul 4 petang, 15 September lalu.

"Duit yang hilang itu ditunaikan mangsa pada 14 September lalu daripada akaun syarikat milik suaminya dengan tujuan untuk disimpan di dalam akaun Amanah Saham Bumiputera (ASB) milik anak-anaknya tetapi tidak sempat berbuat demikian kerana sibuk dengan urusan perpindahan," katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Mohamad Farouk turut menjelaskan, suspek berusia 58 tahun itu ditahan sepasukan polis di pekarangan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya pada pukul 9 malam Rabu.

"Suspek bekerja sebagai pembantu rumah lebih kurang tujuh tahun, tiada rampasan dibuat semasa tangkapan.

"Suspek juga tidak melarikan diri dan masih bekerja selepas kejadian," katanya.

Farouk berkata, suspek tidak mempunyai dokumen perjalanan dan bekerja tanpa permit sah.

"Suspek direman selama empat hari bermula Rabu hingga Sabtu bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 381 Kanun Keseksaan dan Seksyen 6 (1)(C) Akta Imigresen 1959/63," ujarnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram