Bekas exco Johor antara 3 individu bebas tuduhan rasuah, gubah wang haram RM35.7 juta


Abd Latif Bandi (tengah) anaknya Ahmad Fauzan Hatim (kanan) dan perunding hartanah Amir Shariffuddin Abd Raub dibebaskan daripada semua tuduhan rasuah dan pengubahan wang haram.

BEKAS anggota exco perumahan dan kerajaan tempatan Johor, Datuk Abd Latif Bandi, anaknya dan seorang perunding hartanah dibebaskan daripada semua pertuduhan rasuah dan pengubahan wang haram.

Mahkamah Sesyen di Johor Bahru, Johor mendapati Abd Latif, 56; anaknya Ahmad Fauzan Hatim, 30; dan Amir Shariffuddin Abd Raub, 49, tidak melanggar undang-undang dalam kegiatan mereka yang melibatkan lot bumiputera.

Hakim Kamarudin Kamsun berkata, mahkamah mendapati pihak pembelaan berjaya menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan dan membebaskan ketiga-tiga mereka.

“Ia bukanlah satu keputusan yang mudah untuk dibuat.

“Tetapi mahkamah telah meneliti semua bukti yang dikemukakan seperti saksi, eksibit dan kenyataan bertulis dan lisan,” katanya ketika membaca penghakimannya pada Ahad.

Ungkapan "Alhamdulillah" didengari daripada orang tersayang tertuduh seusai proses penghakiman berakhir.

Abd Latif didakwa atas 33 pertuduhan rasuah dan empat pertuduhan pengubahan wang haram pada 14 Jun 2017, berikutan skandal tanah yang tercetus di Johor kira-kira tiga bulan sebelum itu.

Amir Shariffuddin turut didakwa atas 33 pertuduhan rasuah dan 13 pertuduhan mengikut Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLA) 2001, manakala Ahmad Fauzan Hatim didakwa atas empat pertuduhan pengubahan wang haram.

Antara pertuduhan, Abd Latif didakwa bersubahat dengan Amir Shariffuddin untuk menukar lot bumiputera kepada lot bukan bumiputera.

Bekas exco itu juga didakwa membantu mengurangkan jumlah pembayaran yang perlu disumbangkan oleh pemaju kepada Tabung Perumahan Johor untuk menukar lot-lot.

Pihak pembelaan diketuai oleh Datuk Salehuddin Saidin manakala pihak pendakwaan diketuai oleh Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin.

Kamarudin sebelum ini membebaskan mereka pada 21 April 2019, selepas pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie.

Bagaimanapun pada 7 November 2021, Mahkamah Tinggi Johor Bahru memerintahkan ketiga-tiga tertuduh membela diri atas 37 pertuduhan rasuah dan pengubahan wang haram selepas mendapati Mahkamah Sesyen tersilap dalam keputusan membebaskan mereka. —The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram