SELERA seorang pesara kerajaan ketika hendak sarapan pagi terbantut selepas nasi berlauk dibeli di sebuah kedai di Panji, dekat Kota Bharu, Kelantan, berisi lipas.
Isteri kepada pesara itu mahu dikenali Nuramalin, 56, berkata, suaminya, 68, telah membeli nasi tersebut secara bungkus di sebuah kedai makan di Panji pada pukul 8 pagi, selepas menghantar cucu mereka ke sekolah.
"Kedai itu memang kegemaran suami saya dan kerap membeli sarapan pagi nasi berlauk gulai ayam kampung di kedai makan tersebut.
"Nasi dibeli bungkus dan dibawa balik untuk makan di rumah tetapi terkejut apabila buka saja ternampak seekor lipas yang sudah mati," katanya ketika dihubungi pemberita pada Ahad.
Katanya, sebaik melihat kehadiran serangga itu, selera suaminya terus terbantut lalu membuang nasi berkenaan.
"Suami mengucap panjang dan serik hendak pergi ke kedai itu. Kami juga tidak buat aduan apa-apa kepada pemilik kerana bimbang menjejaskan hubungan (pelanggan).
"Kami bagaimanapun berharap hal ini menjadi pengajaran kepada semua peniaga supaya lebih berhati-hati dan menjaga kebersihan dalam menyediakan makanan kepada pelanggan," ujarnya. — Sinar Harian
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram