Cabul wanita di hotel, pegawai penyelidik Exco Negeri Sembilan beri keterangan


  • 112
  • Rabu, 06 Jul 2022

Polis mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian cabul, yang dikatakan melibatkan seorang pegawai kepada Exco kerajaan Negeri Sembilan.

SEORANG pegawai penyelidik kepada Exco kerajaan Negeri Sembilan memaklumkan dipanggil memberi keterangan bagi membantu siasatan, berhubung dakwaan mencabul seorang wanita di sebuah hotel di Negeri Sembilan.

Ahmad Shukri Kamarudin berkata, dakwaan yang dilemparkan kepadanya adalah bersifat dendam dan bermotifkan politik.

"Saya mengesahkan bahawa saya dipanggil memberi keterangan bagi melengkapkan siasatan oleh pihak polis pada 4 Julai lalu.

"Saya memberi kerjasama yang penuh kepada pihak Polis Diraja Malaysia supaya proses siasatan ini dapat dibuat secara telus," katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Menurut Ahmad Shukri, dia bersama pasukan peguamnya akan memberi kerjasama penuh kepada pihak polis.

Tambah pegawai itu, dia sedang mempertimbangkan tindakan mengikut lunas undang-undang bagi membersihkan namanya.

Media tempatan pada Isnin melaporkan, polis mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian cabul yang dikatakan melibatkan seorang pegawai kepada Exco kerajaan Negeri Sembilan di sebuah hotel di Negeri Sembilan.

Suspek yang merupakan lelaki berusia 30-an itu dikatakan melakukan perbuatan tersebut pada 30 Mac dan 26 April lalu.

Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Nanda Maarof berkata, polis menerima laporan daripada mangsa pada Ahad lalu.

"Siasatan akan dijalankan dari pelbagai sudut termasuk menggunakan khidmat forensik, mengambil keterangan daripada saksi-saksi yang boleh membantu siasatan seterusnya mengesan suspek.

"Semua pihak diharap tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu siasatan," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram