AEON meriahkan Aidilfitri, lancar kempen NFT 'Kuih Raya Kita'


  • Bizz
  • Khamis, 28 Apr 2022

Pelancaran kempen 'Raya Penuh Makna', Aeon Co. (M) Bhd. (AEON).

SEMPENA kempen 'Raya Penuh Makna', Aeon Co. (M) Bhd. (AEON) memperkenalkan siri token tidak mudah alih (Non-Fungible Token) atau dikenali sebagai NFT Raya.

Kempen buat pertama kali ini memfokuskan kuih tradisional termasuk Tart Nanas, Biskut Mazola, Biskut London Chocolate Almond, Biskut Makmur Daun, Biskut Cornflakes, Biskut Dahlia, Biskut Biskut Suji dan Biskut Semperit.

Ketua Pegawai Barangan dan Pemasaran AEON, berkata, kerjasama itu dilakukan untuk menyambut Hari Raya dalam bidang digital tetapi pada masa sama untuk menyokong pengiat seni kreatif Malaysia.

"Kami kagum dengan kerja mereka yang mana selaras dengan tema kempen Hari Raya yang bersifat menyeluruh iaitu 'Raya Penuh Makna".

"Apabila kami memperkenalkan teknologi blockchain untuk mengekalkan tradisi, budaya dan seni, kami sebenarnya sedang menghargai apa yang tidak cukup diraikan," katanya.

Siri pertama NFT, 'Kuih Raya Kita', yang direka oleh artis makanan Malaysia Afi Sulaiman, diilhamkan oleh perasaan nostalgia kembali ke kampung terutamanya untuk kenang-kenangan dan kehidupan masyarakat.

WhatsApp Image 2022-04-28 at 15.32.23

Koleksi siri NFT Afi Sulaiman memfokuskan kuih raya tradisional.

Siri itu mempunyai 16 reka bentuk untuk dikumpulkan oleh ahli AEON; edisi pertama boleh ditebus secara percuma sehingga 1 Mei 2022, dengan setiap edisi terhad kepada 1,250 keping.

Untuk rekod, Afi Sulaiman ialah seorang ilustrator dan penulis yang pertama kali mendapat tempat di persada kreatif Malaysia pada tahun 2019 sebagai Usahawan Seni Muda Balai Seni Negara.

"Bagi saya, ciri-ciri yang ada ada dalam seni saya ialah unik, nostalgia, gembira, dan berwarna-warni, dengan penekanan kepada budaya tempatan. Amat menggembirakan untuk mengetengahkan 'Kuih' Melayu tradisional dalam perkongsian dengan AEON ini, dan saya berharap rakyat Malaysia menikmati "kuih Raya' digital yang unik ini sama seperti saya suka membuatnya," kata Afi Sulaiman.

Kempen itu adalah kerjasama antara peruncit dan syarikat web3 Malaysia, Meta Universe (MU).

Ketua Pegawai Eksekutif MU berkata, Siri NFT yang dijalankan itu adalah inovosi terbaharu cara AEON berkomunikasi dengan pelanggan mereka.

"Kempen ini memberi pelanggan pengalaman yang kini merupakan aset yang boleh mereka miliki secara nyata dalam ruang digital, AEON sedang membina jenis kesetiaan kepada pelanggan dengan cara yang berbeza," ujarnya.

Selain itu, AEON turut memperkenalkan edisi terhad khas NFT melalui Discord di bawah siri *Kuih Raya Kita' yang memfokuskan bekas yang biasanya menyimpan kuih'.

Siri istimewa itu dibuat oleh artis Malaysia, Izzati Suza, yang juga mengusahakan kedainya sendiri di Melaka iaitu mereka bentuk produk menjadi pakaian atau barangan kraf.

Dalam kerjasama NFT pertamanya dengan AEON, Izzati menghasilkan tiga tema utama iaitu 'Alas Meja Nenek','Kuarantin Raya' dan 'Raya Penuh Makna', dengan hanya 10 keping dihasilkan untuk setiap tema.

WhatsApp Image 2022-04-28 at 15.32.30

Koleksi siri NFT Izzati Suza.

"Saya sangat sukakan tema Raya AEON untuk tahun ini - 'Raya Penuh Makna'. Memang bermakna dapat menyambut Aidilfitri bersama orang tersayang selepas berkurung selama dua tahun.

"Pandemik telah menyebabkan ramai daripada kita mengamalkan gaya hidup digital, kami menjemput semua rakyat Malaysia untuk mendapatkan siri Raya NFT yang unik ini untuk menjadikan sambutan tahun ini lebih diingati," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

Bisnes, Bizz, Aeon, NFT, raya, Afi Sulaiman, Izzati Suza,