KEJADIAN seorang lelaki yang menetak isteri dan ibu mentuanya hingga parah di Johor dipercayai berlaku pada Khamis ketika mereka sekeluarga sedang menanti waktu untuk berbuka puasa.
Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Hussin Zamora berkata, kejadian berlaku di Kampung Sedili Kecil, Kuala Sedili, Kota Tinggi.
Beliau berkata, Pusat Kawalan Daerah Kota Tinggi telah menerima maklumat awam melalui panggilan dari MERS 999 berkenaan kes terbabit pada pukul 8.22 malam.
"Hasil siasatan mendapati kejadian berlaku pada pukul 7.11 malam, secara tiba-tiba, suspek telah mengamuk dan menetak empat orang mangsa yang berada di dalam rumah menggunakan parang.
"Kesemua mangsa iaitu isteri, ibu mertua dan dua adik iparnya mengalami kecederaan parah dan telah mendapat rawatan di Hospital Kota Tinggi serta kini berada dalam keadaan stabil.
"Punca kejadian tidak diketahui dan masih dalam siasatan polis," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.
Katanya, suspek bernama Mohd Adi Hashim, 38, beralamat di Felda Air Tawar 3 kini sedang dicari bagi membantu siasatan.
Gambar tular suspek yang kini dikehendaki polis untuk siasatan lanjut. — Facebook
Tambahnya orang awam yang mempunyai maklumat diminta menyalurkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.
"Orang awam boleh menghubungi pegawai penyiasat kes Inspektor Nurul Syafiqah Khalid di talian 019-5121568 atau menghubungi pihak Polis IPD Kota Tinggi di talian 07-8831222 atau mana-mana balai polis berhampiran.
"Kes disiasat di bawah Seksyen 326 Kanun Keseksaan, jika disabitkan kesalahan boleh dikenakan hukuman dengan penjara yang boleh sampai 20 tahun dan boleh juga dikenakan denda atau sebat," katanya lagi.
Kenderaan dipercayai milik lelaki terbabit. — Facebook
Sementara itu, seorang ahli keluarga mangsa yang enggan dinamakan berkata, isteri lelaki itu berusia 34 tahun manakala ibu mentuanya lewat 40-an.
"Kami buat hantaran status itu di Facebook Khas Orang Kota Tinggi bertujuan bagi memohon penduduk setempat menjejaki dia.
"Lokasi terakhir di Plentong, Johor Bahru. Kami buat niat nak viral perkara tersebut tetapi hanya mahu minta tolong orang ramai kesan lelaki ini," katanya kepada Majoriti.
Dia bagaimanapun enggan mendedahkan butiran mengenai punca kepada perselisihan faham itu selain menyerahkannya kepada pihak polis untuk tindakan lanjut. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram