PELAJAR tahun akhir Sarjana Muda Pengurusan Pelancongan Universiti Utara Malaysia (UUM) yang terlibat kemalangan di Curacao, Caribbean pada 28 Disember tahun lalu tiba di tanah air, pada Jumaat.
Naib Canselor UUM, Prof Dr Haim Hilman Abdullah berkata, Nur Nabilah Mohd Azahar, 25, akan meneruskan rawatan susulan di Hospital Canselor Tuanku Mukriz (HCTM) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Kuala Lumpur.
Menurutnya, pesawat yang membawa Nur Nabilah selamat mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada pukul 8 malam.
"Syukur ke hadrat ALLAH kerana Nur Nabilah telah kembali ke tanah air untuk mendapatkan rawatan susulannya.
Haim (dua kanan) mengiringi Nur Nabilah ke HCTM selepas tiba di tanah air, pada Jumaat. — Ihsan UUM
"Nur Nabilah akan meneruskan rawatan di HUKM (kini dikenali Hospital Canselor Tuanku Mukriz UKM) dan saya berharap dia dan keluarganya tabah serta kuat semangat untuk teruskan rawatan ini,” katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.
Ketibaan pelajar tersebut turut disambut Haim bersama Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof Dr Ahmad Martadha Mohamed, pegawai-pegawai kanan dari Wisma Putra dan UUM serta ibu bapanya, Mohd Azahar Zakaria dan Nor Manira Khalib.
Sementara itu, ibu Nur Nabilah, Nor Manira mengucapkan terima kasih kepada semua pihak membantu menguruskan rawatan anaknya di sana khususnya Wisma Putra, Kementerian Pengajian Tinggi dan juga UUM.
“Alhamdulillah akhirnya anak saya berjaya dibawa pulang di atas kerjasama semua pihak terbabit dan saya rasa amat bersyukur kerana dapat melihat anak saya kembali dengan selamat," katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram