Sijil vaksinasi dan saringan Covid-19 negara kini diiktiraf Eropah


  • Primer
  • Isnin, 04 Apr 2022

RAKYAT Malaysia kini tidak perlu khuatir sekiranya ingin melancong ke negara-negara anggota EU kelak. — The Star

SIJIL vaksinasi dan saringan Covid-19 Kerajaan Malaysia kini diiktiraf Kesatuan Eropah (EU) untuk memudahkan pergerakan pengembara Malaysia di negara anggota blok berkenaan.

Keputusan Suruhanjaya Eropah mengenai pengiktirafan itu berkuatkuasa mulai 4 April 2022.

Menerusi satu kenyataan di laman sesawang EU, Presiden Suruhanjaya Eropah, Ursula Von Der Leyen berkata, bagi membolehkan pengiktirafan itu beroperasi, Malaysia akan disambung kepada kerangka kerja Sijil Covid Digital EU yang ditubuhkan di bawah Peraturan (EU) 2021/953.

"Sijil vaksinasi dan saringan Covid-19 Malaysia menepati 'Sistem Pengurusan Vaksin’ kesatuan itu dan dianggap setara dengan yang dikeluarkan mengikut Peraturan (EU) 2021/953," menurut kenyataan berkenaan.

Bagaimanapun, bagi melindungi kepentingan EU, khususnya dalam bidang kesihatan awam, Suruhanjaya boleh menggunakan kuasanya untuk menggantung permohonan keputusan itu atau memansuhkannya, jika syarat Perkara 8(2) Peraturan (EU) 2021/953 tidak lagi dipatuhi.

Malaysia pada 18 November 2021 menyediakan maklumat terperinci kepada Suruhanjaya itu mengenai pengeluaran sijil vaksinasi dan saringan Covid-19 di bawah ‘Sistem Pengurusan Vaksin’.

"Malaysia memaklumkan kepada Suruhanjaya bahawa ia menganggap sijil Covid-19 dikeluarkan mengikut piawaian dan sistem teknologi, yang saling beroperasi dengan kerangka kerja ditetapkan Peraturan (EU) 2021/953 dan membenarkan pengesahan ketulenan, kesahihan dan integriti sijil-sijil itu,” jelas kenyataan tersebut.

Screenshot 2022-04-04 201404

CIAPAN Rokas tentang pengiktirafan EU terhadap sijil vaksinasi dan saringan Covid-19 Malaysia. — Twitter

Sementara itu, Duta dan Ketua Delegasi EU ke Malaysia, Michalis Rokas turut memaklumkan berhubung perkembangan terkini itu di akaun Twitternya.

"Berita baik: EU telah menerima permintaan Malaysia @officialmosti untuk mewujudkan kesetaraan antara Sijil Covid Digital EU dan MySejahtera Malaysia. Merancakkan lagi perniagaan dan pelancongan!,” katanya. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram