KEMENTERIAN Kesihatan (KKM) merekodkan sebanyak 20,923 kes baharu positif Covid-19 pada Sabtu berbanding 21,839 pada Jumaat.
Ini menjadikan jumlah keseluruhan jangkitan di negara ini meningkat kepada 4,122,004 kes setakat ini.
Sementara itu, sebanyak 34 kematian baharu akibat Covid-19 dilaporkan pada Sabtu.
Daripada jumlah tersebut, sebanyak lapan kes adalah kematian di luar hospital atau brought-in-dead (BID).
Menurut laman sesawang CovidNow, ia menjadikan jumlah keseluruhan kematian di negara ini disebabkan oleh virus berkenaan sebanyak 34,751.
Sementara itu, bagi kategori BID pula, jumlah keseluruhan adalah sebanyak 7,326 kes.
Laporan berkenaan turut memaklumkan bahawa purata sebanyak 23 orang daripada sejuta populasi kematian akibat Covid-19 di negara ini direkodkan bagi tempoh dua minggu lepas.
Perak menjadi negeri tertinggi merekod purata kematian setakat ini dengan 51 diikuti Kedah (44) dan Melaka (41).
Dalam masa yang sama, kadar penggunaan katil di Unit Rawatan Rapi (ICU) ialah 56.9 peratus dan penggunaan alat bantuan pernafasan sekitar 33.7 peratus. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram