Angkara cemburu, suami tetak mati isteri dalam bilik sewa di Kota Kinabalu


  • 112
  • Rabu, 23 Mac 2022

MAYAT mangsa diserahkan ke Jabatan Forensik Hospital Queen Elizabeth bagi proses calitan Covid-19 dan bedah siasat. — Sinar Harian

SEORANG wanita maut selepas dipercayai dibunuh oleh suaminya di bilik sewa pasangan itu di bangunan Segama di Kota Kinabalu, Sabah pada Rabu.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Mohd Zaidi Abdullah berkata, suspek yang berusia 31 tahun itu menghubungi talian MERS999 pada jam 11.47 malam.

Beliau berkata, suspek memaklumkan telah menetak isterinya dengan menggunakan senjata tajam sehingga tidak sedarkan diri dan mahu menyerah diri.

"Motif pembunuhan dipercayai kerana cemburu dan berlaku pertengkaran sebelum suspek menyerang isterinya yang berusia 23 tahun," katanya ketika dihubungi pemberita pada Rabu.

Mohd Zaidi berkata, mayat mangsa telah diserahkan ke Jabatan Forensik Hospital Queen Elizabeth bagi proses calitan Covid-19 dan bedah siasat.

Beliau berkata, suspek, yang juga merupakan pemegang pas IMM13 dan bekerja sebagai buruh binaan, akan disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

wanita maut, polis, Segama, IMM13, Sabah