Pegawai polis tembak diri sendiri pernah tolak rasuah RM10,000


  • 112
  • Isnin, 28 Feb 2022

ENG Lai berkata, pegawai polis yang menembak dirinya sendiri itu pernah ditawarkan RM10,000 bagi cubaan membebaskan seorang OKT berkaitan kes dadah pada Ogos tahun lepas. — FAIHAN GHANI/The Star

PEGAWAI polis yang maut selepas dipercayai menembak kepalanya di sebuah rumah di Jalan Selingsing, di Kuala Lumpur pada Ahad merupakan pegawai berintegriti tinggi, mempunyai prestasi kerja yang baik dan disenangi rakan.

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Beh Eng Lai berkata, pegawai berusia 35 tahun itu pernah mendapat pujian daripada kepimpinan tertinggi Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan menerima surat penghargaan Ketua Polis Negara kerana menolak suapan.

"Pegawai polis berkenaan pernah ditawarkan RM10,000 bagi cubaan membebaskan seorang OKT (Orang Kena Tahan) bagi kes Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952, pada Ogos tahun lepas.

"Motif kejadian masih dalam siasatan dan pegawai berkenaan tiada masalah berkaitan kerja dan sebelum ini dia ditempatkan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul sebagai pegawai penyiasat di Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik dan kemudian ditukarkan ke IPD Dang Wangi tiga bulan lepas.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menandatangani dokumen penerimaan semula pondok polis yang dibaik pulih oleh MRT Corp di Pondok Polis Batu 3, di ibu negara.

Menurutnya, proses bedah siasat pegawai polis berkenaan akan dijalankan di Hospital Kuala Lumpur hari ini.

Beh berkata, pegawai itu yang mempunyai seorang isteri dan dua anak, ditemui mati di rumah kawannya.

"Saksi merupakan kawan kepada pegawai polis berkenaan, ketika kejadian ada kawan lelaki dan kawan perempuan dalam rumah yang didiami beberapa orang itu," katanya.

Beh dilaporkan berkata, kejadian itu dimaklumkan pihaknya selepas Pusat Kawalan Ibu IPD Sentul menerima panggilan daripada sistem MERS 999 pada kira-kira 3.30 petang.

Pada Ahad, seorang pegawai polis berpangkat Inspektor maut dipercayai menembak kepalanya dengan pistol dalam kejadian di sebuah rumah di Jalan Selingsing, di Kuala Lumpur pada Ahad.

Sementara itu, Beh berkata, pondok polis yang diterima pihaknya itu akan beroperasi semula pada Isnin setelah tiga tahun ditinggalkan akibat pembinaan projek MRT. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram