Makin mencanak, 22,133 kes Covid-19 dicatat


  • Primer
  • Selasa, 15 Feb 2022

SUASANA di Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan Kanak-kanak (PICKids). — The Star

MALAYSIA mencatatkan 22,133 kes Covid-19 baharu pada Selasa, semakin meningkat berbanding 21,315 kes yang dicatatkan pada Isnin.

Ini menjadikan jumlah keseluruhan jangkitan di negara ini meningkat kepada 3,083,683 kes setakat ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Datuk Dr Noor Hisham Abdullah dalam satu kenyataan berkata, 146 kes adalah kategori 3,4,5 manakala 21,987 terdiri daripada kategori 1 dan 2.

Sementara itu, Dr Noor Hisham dalam kenyataan harian mengenai perkembangan Covid-19 memaklumkan, daripada 22,133 kes baharu pada Selasa, sebanyak 80 adalah kes import dan 22,053 kes tempatan, dengan 194 kes dirawat di unit rawatan rapi (ICU) dengan 120 memerlukan bantuan pernafasan.

Beliau berkata, sebanyak 7,584 kes sembuh direkodkan menjadikan kumulatif kes sembuh setakat ini adalah 2,868,538.

Selain itu, 16 kluster baharu dikenal pasti dengan 444 kluster yang masih aktif setakat ini.

"Maklumat terperinci berkenaan situasi semasa jangkitan dan penularan Covid-19 di Malaysia akan dimuat naik ke laman sesawang COVIDNOW di https://covidnow.moh.gov.my,” katanya.

Dr Noor Hisham berkata, kadar kebolehjangkitan (Rt) negara mencatatkan 1.38 dengan Labuan merekodkan nilai Rt tertinggi iaitu 1.94 diikuti Sarawak dan Sabah (masing-masing 1.56) serta Pulau Pinang (1.43).

Selain itu, beliau turut memaklumkan sehingga Selasa, kes baharu Covid-19 yang dimasukkan ke hospital adalah sebanyak 1,432 kes.

"Daripada 1,432 kes ini, 505 kes (35.3 peratus) adalah kategori tiga, empat, dan lima; 927 kes (64.7 peratus) lagi adalah terdiri daripada kategori satu dan dua; manakala 25 kes baharu telah dimasukkan ke ICU dan 1,407 kes baharu telah ditempatkan di katil biasa.

"Pada masa yang sama, 984 kes Covid-19 telah didiscaj daripada ICU dan katil biasa di hospital,” katanya lagi.

Dr Noor Hisham berkata, antara sebab kemasukan pesakit Covid-19 kategori satu dan dua ke hospital adalah kecemasan perubatan (penyakit kencing manis atau darah tinggi yang tidak terkawal); dan baru dikenal pasti menghidap penyakit tidak berjangkit yang tidak terkawal semasa mendapat pemeriksaan di Pusat Penilaian Covid-19 (CAC). — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

Covid-19, Kes Harian, , Menurun, Noor Hisham, Kkm