TV Bayu jawab insiden 'live bola' gagal diakses


  • Podium
  • Ahad, 13 Feb 2022

TV Bayu kesal dengan kejadian program siaran langsung dalam talian perlawanan pembukaan SMJ Cup yang tidak boleh diakses pengguna pada Sabtu.

PADA Sabtu, penonton yang tertunggu-tunggu aksi perlawanan pembukaan kejohanan bola sepak pramusim Piala Sabah Maju Jaya (SMJCUP) 2022, yang disiarkan secara langsung menerusi Facebook TV Bayu, kecewa kerana acara berbayar itu tidak dapat diakses.

Siaran langsung perlawanan antara Kedah Darul Aman (KDA) FC dan Sarawak United itu mengenakan bayaran RM7.90 per siaran dan diakses kira-kira 2,900 pengguna pada petang Sabtu.

Menjawab persoalan itu, TV Bayu menerusi satu hantaran di Facebook pada Ahad berkata, pihaknya akan memperbaiki dan menaik taraf server processor portal laman web.

Pihaknya juga akan berhenti menerima pembayaran secara dalam talian menerusi FPX online banking buat sementara waktu.

"TV Bayu baru berhubung dengan syarikat server. Mereka akan memperbaiki dan upgrade server processor portal laman web.

"Oleh kerana itu, kita akan berhenti menerima online payment FPX sementara waktu," katanya.

Menurut poster yang disertakan bersama hantaran status itu, pembayaran secara dalam talian akan dihentikan TV Bayu sehingga 14 Februari 2022 (Isnin).

Mengulas lanjut, TV Bayu berkata, penganjur SMJ Cup sudah mengumumkan bahawa Match Day 1 (Round 1) akan disiarkan di FB Live secara percuma untuk semua.

Oleh itu, katanya, sesiapa yang sudah membuat bayaran untuk perlawanan Sarawak United FC menentang KDA FC dan Sabah FC vs Kelantan FC melalui Portal TV Bayu ingin meminta bayaran balik, boleh berbuat demikian.

Mereka boleh menghantar email ke [email protected] dengan subject 'SMJ Cup Day 1 Refund' bersama bukti pembayaran masing-masing.

"Opsyen kedua adalah tidak menerima bayaran balik tetapi membawa bayaran itu ke perlawanan seterusnya.

"Contohnya perlawanan Kedah lawan Sarawak pada Sabtu dianjak ke perlawanan Kedah lawan Kelantan yang dijadual pada Rabu depan.

"Sila hantar juga e-mail ke [email protected] dengan Subject 'SMJ Cup move Match' bersama perlawanan yang ingin ditonton," katanya.

Berhubung perlawanan yang sudah ditunda, TV Bayu akan kongsi link live sejam sebelum perlawanan bermula di Facebook TV Bayu.

"Segala kesulitan amat dikesali dan mohon maaf daripada Founder TV Bayu," katanya.

Kejohanan anjuran Sabah Football Club itu bermula dengan perlawanan Sarawak United menentang KDA FC disusuli Sabah FC menentang Kelantan FC.

Sementara itu, Rabu depan KDA FC akan menentang Kelantan FC (4.15 petang), manakala Sabah FC menentang Sarawak United (9 malam), disusuli Sarawak United menentang Kelantan FC (4.15 petang) dan Sabah FC menentang KDA FC (9 malam) pada 18 Februari. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram