Pemergian Salahuddin kehilangan besar rakyat Sarawak


  • Primer
  • Sabtu, 29 Jan 2022

JENAZAH Allahyarham Salahuddin dibawa ke Masjid Jamek Kuching pada Sabtu. — The Star

BEKAS Yang Dipertua Negeri Sarawak, Tun Abang Muhammad Salahuddin Abang Barieng yang menghembuskan nafas terakhir pada usia 100 tahun pada Jumaat, selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Semariang di Kuching kira-kira pukul 2.30 petang.

Terdahulu jenazah Allahyarham Tun Salahuddin dibawa ke Masjid Jamek Negeri kira-kira pukul 11.30 pagi untuk penghormatan terakhir, dan urusan solat jenazah dipimpin oleh Imam Besar Sarawak, Datuk Mustapha Kamal Abdul Rahman selepas solat fardu Zohor.

Antara barisan tertinggi kepimpinan negeri yang hadir untuk memberi penghormatan terakhir ialah Yang Dipertua Negeri, Tun Abdul Taib Mahmud, Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg serta barisan menteri kabinet negeri, selain Menteri Kanan Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof.

Sementara itu, Abang Johari menyifatkan Allahyarham sebagai seorang pejuang dan watak penting ketika Sarawak memutuskan untuk bergabung dengan Tanah Melayu dalam membentuk Malaysia, dan merupakan antara pemimpin terpilih untuk ditemu duga oleh Suruhanjaya Cobbold yang membawa ke era kemerdekaan.

"Tun Salahuddin juga telah dilantik menjadi Yang Dipertua Negeri sebanyak dua kali. Ini melambangkan ketokohan Allahyarham sebagai seorang pemimpin yang berjaya menyatukan rakyat berbilang kaum dan bangsa di Sarawak.

"Atas nasihat dan kepimpinan Allahyarham, kita dapat menikmati apa yang kita lihat pada hari ini dan hari ini Sarawak telah kehilangan insan yang besar jasanya,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di Masjid Jamek Negeri pada Sabtu.

Abang Muhammad Salahuddin lahir pada 27 Ogos 1921. Allahyarham dilantik menjadi Yang Dipertua Negeri Sarawak dari 1977 hingga 1981 sebelum dilantik semula memegang jawatan itu pada 2001 hingga 2014.

Allahyarham merupakan individu pertama yang berkhidmat sebagai Yang Dipertua Negeri sebanyak dua kali. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram