TINDAKAN seorang lelaki menunggang motosikal secara melulu dengan melakukan aksi ‘zig-zag’ di Lebuhraya Duta-Ulu Kelang (DUKE) akhirnya membawa padah apabila dipenjara sehari dan didenda RM5,000 oleh Mahkamah Majistret Selayang di Selangor pada Rabu.
Majistret Nik Mohd Fadli Nik Azlan memerintahkan Syarif Nazri Ataullah Shahriman, 26, menjalani hukuman itu pada Rabu selain hilang kelayakan memegang lesen memandu selama dua tahun dan jika gagal membayar denda, boleh dipenjara tiga bulan.
Dia didakwa menunggang motosikal secara melulu dan membahayakan orang awam di DUKE pada 2.30 pagi, 29 Oktober 2016.
Pertuduhan mengikut Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang membawa hukuman penjara maksimum lima tahun dan denda sehingga RM15,000 serta hilang kelayakan memegang atau mendapatkan lesen memandu sekurang-kurangnya dua tahun jika sabit kesalahan.
Semasa meminta hukuman yang ringan, peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan M. Mariappan, yang mewakili Syarif Nazri Ataullah memohon hukuman minimum atas alasan anak guamnya telah insaf dan ketika kejadian usianya masih mentah iaitu 20 tahun.
Timbalan Pendakwa Raya Nur Iman Wan Ahmad Afzal memohon hukuman setimpal kerana tindakan berlumba di jalan raya membahayakan keselamatan pengguna lain.
Mengikut fakta kes, pada hari kejadian, tertuduh ditahan anggota polis selepas dilihat menunggang motosikal secara bahaya dan melulu dengan melakukan aksi ‘zig-zag’. — Bernama
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram