TINDAKAN yang diambil oleh kerajaan seperti undang-undang khas dan undang-undang kawalan sebenarnya tidak memberi kesan dalam mengawal isu kenaikan harga barang, kata persatuan pengguna.
Presiden Persatuan Pengguna Subang dan Shah Alam (CASSA), Datuk Dr.Jacob George berkata demikian ketika mengulas tentang isu kenaikan harga barang yang dijangka meningkat antara 30 hingga 200 peratus menjelang 2022 ekoran fenomena global dan spekulasi peniaga.
"Kepimpinan profesional tidak menjalankan tugas dalam memantau harga. Sebagai contoh, ada menteri yang tidak peka roti Gardenia jadi mahal, memang nampaklah dia tidak prihatin dengan perihal rakyat.
"Menteri itu tidak tahu kerana dia tiada inisiatif untuk turun padang ambil tahu apa jadi dengan rakyat," katanya kepada Majoriti.
Jacob berkata menteri juga perlu berani akui yang mereka membuat silap, jangan hanya tahu bermain politik.
"Menteri cakap isu ini adalah eksploitasi para peniaga tetapi sebenarnya para peniaga ini bersedia sahaja untuk tunjuk invois mereka. Namun saya tidak nafikan ada juga berlaku eksploitasi para peniaga terutamanya dari syarikat-syarikat gergasi," katanya.
Bagi menangani isu tersebut, Jacob berkata kerajaan sebenarnya perlu mewujudkan satu task force (badan petugas) yang mana ahli jawatankuasanya mempunyai latar belakang yang sesuai dan sering turun padang seperti CASSA.
Selain itu beliau juga menggesa agar semua pihak perlu memberi bekerjasama dan tidak menyembunyikan sebarang data serta menjelaskan hal sebenar kerana rakyat juga dapat menyedari perkembangan sekeliling.
Presiden CASS, Datuk Dr.Jacob George
"Kita tidak boleh bergantung sepenuhnya pada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Malaysia (KPDNHEP) dalam menguruskan hal ini.
"Apabila kita ada task force, mereka inilah yang akan jumpa pembekal, pemborong dan pengeluar bagi mengetahui apa sebenarnya masalah akar umbi yang dihadapi mereka.
"Kena ada pihak dilantik sebagai watchdog (pemantau) untuk memantau dan buktikan yang pihak kerajaan berkerjasama dengan badan bukan kerajaan (NGO) bagi menangani isu kenaikan harga barang ini
"CASSA bersedia untuk jadi watchdog dengan pengalaman saya sendiri yang sudah 45 tahun dalam industri ini. Mungkin selepas ini kami boleh sentiasa memantau supaya harga yang dikeluarkan adil dan munasabah untuk semua pihak," tambah Jacob.
Selain itu, Jacob juga mencadangkan agar mewujudkan pusat sehenti (one stop centre) yang mana dapat menghubungkan perkhidmatan semua agensi yang berkaitan.
Sebagai contoh katanya, jika ada masalah berkaitan pertanian, pihak yang terlibat boleh terus jumpa Kementerian Pertanian.
"Selama ini bila buat mogok, baru kementerian yang terlibat mengambil tahu dan kenyataan yang mereka keluarkan tidak konsisten dan membingungkan pengguna," kata Jacob.
Sementara itu, beliau juga sempat mengulas isu kartun yang dikeluarkan oleh KPDNHEP yang memerli tindakan warganet hanya tahu meluahkan kenaikan harga barang di ruangan komen, tetapi tidak menggunakan saluran yang betul iaitu melalui talian WhatsApp rasmi kementerian itu.
"Jangan hanya tahu serang rakyat saja dengan memuatnaik poster sedemikian, patutnya kementerian itu turun padang dan lihat kenapa rakyat marah dengan isu kenaikan harga barang ini.
"Kita sebagai pengguna ada hak untuk suarakan hak dan memberi maklum balas," katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram