Bahasa isyarat jadi bahasa ketiga di Tabika Perpaduan


  • Primer
  • Sabtu, 16 Okt 2021

HALIMAH (dua, kiri) menyampaikan kotak makanan kepada penerima pada program Perpaduan KRT Cares dan Kebun Komuniti di KRT Kampung Tersusun Kelebang Selatan.

PENGAJARAN bahasa isyarat akan diperkenalkan sebagai bahasa ketiga d ibawah Pelan Pendidikan Awal Kanak-Kanak Tabika Perpaduan 2021-2030 di Tabika Perpaduan di seluruh negara, tahun depan.

Bahasa isyarat menjadi subjek bahasa ketiga tambahan di Tabika Perpaduan selepas Mandarin, Tamil, Kadazan dan Iban.

Menteri Perpaduan Negara, Datuk Halimah Mohamed Sadique berkata, kesemua pengajaran bahasa ketiga itu akan dilaksanakan di semua 1,781 Tabika Perpaduan, membabitkan 38,000 murid di seluruh negara.

"Sebelum ini, terdapat cadangan (pengajaran bahasa isyarat) daripada Senator Datuk Ras Adiba Radzi dalam perbahasan di Dewan Negara yang mencadangkan supaya kita (Kementerian Perpaduan Negara) ajarkan bahasa isyarat kepada anak-anak di Tabika Perpaduan.

"Itu satu perkara yang sangat baik, sekurang-kurangnya anak-anak ini ada kemahiran baharu.

“Sekurang-kurangnya mereka boleh bertutur dan faham dengan rakan-rakan lain yang mungkin tidak dapat bertutur dan menggunakan bahasa isyarat," katanya.

Bagaimanapun, Halimah menjelaskan pengajaran bahasa ketiga itu tidak tersenarai dalam sukatan mata pelajaran atau subjek di Tabika Perpaduan dan ia tidak akan membebankan murid.

Dalam masa sama, kementerian ini sudah pun mengatur kerjasama dengan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dan Universiti Terbuka Malaysia (OUM) dengan guru terbabit sedang menjalani latihan ditetapkan.

"Kita juga ambil guru-guru yang sudah pencen dan ada di antara mereka yang fasih bertutur dalam bahasa ketiga dan boleh mengajar murid-murid ini," katanya. — Bernama