Erdogan terima tamparan hebat, Parti AK kalah besar pilihan raya tempatan Turkiye


  • Benua
  • Isnin, 01 Apr 2024

Dalam pilihan raya yang diadakan pada Ahad, parti pembangkang mendakwa mereka sudah memperoleh kemenangan di bandar-bandar utama termasuk Istanbul dan pusat pentadbiran Turkiye, Ankara. — Reuters

PILIHAN raya tempatan Turkiye pada Ahad menyaksikan kekalahan besar bagi Presiden Recep Tayyip Erdogan dan Parti AK yang merupakan kerajaan di negara itu pada ketika ini.

Ia selepas parti pembangkang mendakwa mereka sudah memperoleh kemenangan di bandar-bandar utama termasuk Istanbul dan pusat pentadbiran Turkiye, Ankara.

Pilihan raya di seluruh negara pada Ahad diadakan untuk pemilihan datuk bandar, datuk bandar daerah, dan pegawai tempatan lain yang akan berkhidmat untuk lima tahun akan datang.

Keputusan buruk diperoleh parti pemerintah Turkiye itu berlaku selepas Erdogan dipilih semula sebagai presiden dalam pilihan raya akhir Mei lalu, menewaskan ketua pembangkang, Kemal Kilicdaroglu dalam undian terakhir.

Selepas kemenangan dalam pemilihan presiden, Erdogan berhasrat untuk merampas kembali bandar-bandar yang jatuh ke tangan pembangkang pada 2019.

Keputusan rasmi awal menunjukkan parti pembangkang iaitu Parti Rakyat Republikan (CHP) memenangi 49 daripada 81 majlis perbandaran termasuk 14 daripada 30 kawasan bandar di negara itu, kata Majlis Pilihan Raya Tinggi Turkiye.

Dengan peratus pengiraan undi kini mencapai 99.8 peratus, media melaporkan keputusan tidak rasmi menyaksikan pesaing utama Erdogan, Ekrem Imamoglu dari CHP dipilih semula sebagai datuk bandar Istanbul dengan menerima 51.1 peratus undi.

Di seluruh negara, CHP memenangi undian terbanyak, dengan 37.7 peratus.

BACA LAGI: 'Kafir bukan istilah tunggal digunakan terhadap bukan Islam dalam al-Quran'

WhatsApp Image 2024-04-01 at 8.40.48 PM

Erdogan (kanan) menerusi ucapannya selepas kekalahan itu berkata, beliau menghormati kehendak rakyat Turki. — Agensi

BACA LAGI: Bukan takat mahu 'survive' raya, pesawah terpaksa tanggung hutang berganda akibat cuaca panas

Di ibu negara, Ankara, calon CHP dan penyandang Datuk Bandar Mansur Yavas memperoleh 60.4 peratus undi manakala di Izmir, Cemil Tugay dari CHP menang dengan 48.9 peratus undian.

“Tempoh pemerintahan hanya oleh seorang pemimpin sudah berakhir hari ini,” ujar Imamoglu di hadapan orang ramai yang bersorak pada malam Ahad.

Sebelum menceburi arena politik, beliau yang kini berusia 53 tahun merupakan seorang ahli perniagaan.

"Ketika kami meraikan kemenangan kami, kami menghantar mesej yang kuat kepada dunia: kemunduran demokrasi berakhir sekarang.

"Istanbul berdiri sebagai suar harapan, bukti ketahanan nilai demokrasi dalam wajah autoritarianisme yang semakin meningkat,” tulis datuk bandar Istanbul pada Isnin di X.

Bagi Erdogan, Istanbul merupakan bandar strategik perlu dirampas semula dalam pilihan raya pada Ahad.

Bandar itu selama 25 tahun dikuasai parti yang beraliran agama dengan yang pertama adalah Parti Kebajikan, yang mana Erdogan adalah ahli, dan kemudiannya Parti AK.

Bagaimanapun, CHP yang beraliran sekular memenangi jawatan datuk bandar pada 2019 di bawah Imamoglu.

Parti AK kehilangan 10 daerah di Istanbul kepada pesaing dalam pilihan raya terbaharu.

Beyoglu, iaitu daerah di dalam Istanbul di mana tempat Erdogan dilahirkan, juga dikuasai oleh CHP.

Erdogan tidak mencalonkan diri dalam pilihan raya kali ini, namun undian itu sebahagian besarnya dilihat sebagai satu ujian kepada Parti AK dalam keupayaannya merampas semula kerusi yang jatuh ke tangan lawan dalam pilihan raya 2019.

Erdogan,70, menerusi ucapannya selepas kekalahan itu berkata, beliau menghormati kehendak rakyat Turki.

“Malangnya, kami tidak dapat keputusan yang kami inginkan dan harapkan dalam ujian pilihan raya tempatan,” kata Erdogan dalam ucapan yang disampaikan pada Isnin di ibu pejabat Parti AK di Ankara.

Beliau turut menyifatkan keputusan itu adalah satu kemenangan buat demokrasi di negara itu yang terdiri daripada 85 juta penduduk tanpa mengira pandangan politik. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram