Wanita terkejut suami mati 9 tahun lalu muncul dalam video promosi menu kurma ayam


  • Benua
  • Rabu, 25 Jan 2023

Tangkap layar video seorang lelaki dipercayai mendiang suami Lucy Watson.

SEORANG wanita di Britain mendakwa melihat suaminya makan di sebuah restoran baru-baru ini walaupun lelaki itu sudah meninggal dunia sembilan tahun lalu, lapor Daily Mail pada Selasa.

Lucy Watson mengulas mengenai video iklan online yang dikongsi oleh restoran Spice Cottage di Westbourne, West Sussex di England pada 16 Januari lalu.

Ketika bertanya mengenai usia rakaman itu, Watson berkata, dia melihat anak lelaki dan suaminya dalam video promosi masakan India tersebut walaupun lelaki itu meninggal dunia pada 2014.

Apa yang pelik, restoran berkenaan menyatakan bahawa video itu dirakam seminggu sebelum ia disiarkan.

Restoran yang beroperasi pada 1994 itu menyiarkan video bersama kapsyen bermaksud: “Tahun baharu, suasana baharu!

“Sejak beberapa minggu kebelakangan ini, kami bekerja keras untuk menjadikan pengalaman menjamu selera di sini lebih diingati,” jelas kapsyen berkenaan.

Situasi membingungkan itu membuatkan pengguna media sosial tertanya-tanya dan berkongsi teori mereka mengenai kemungkinan apa yang berlaku.

Seorang pengguna media sosial juga mengaitkan kejadian itu dengan kisah John Darwin yang didakwa memalsukan kematiannya untuk penipuan insurans hayat selepas menghilangkan diri dengan bot miliknya pada 2002.

Bagaimanapun, tiada ulasan lanjut diberikan kedua-dua pihak berhubung siapa lelaki itu sebenarnya. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram