[VIDEO] Nyaris rentung ketika tidur, polis buru 3 lelaki bertopeng ceroboh bakar rumah


  • Benua
  • Jumaat, 13 Jan 2023

Tangkap layar video memaparkan kejadian kebakaran di sebuah kediaman.

SEBUAH keluarga berdepan detik cemas selepas tiga lelaki bertopeng bertindak membakar rumah mereka minggu lalu ketika mereka sedang tidur.

Dalam kejadian di timur laut Delhi, India itu, keluarga tersebut bagaimanapun berjaya keluar dari rumah mereka untuk menyelamatkan diri.

Menerusi video tular, ketiga-tiga suspek pada mulanya berjalan naik ke rumah mangsa menerusi lorong sempit kawasan perumahan itu bersama sebuah bekas dipercayai berisi minyak.

Pada masa sama, salah seorang daripada mereka membaling cecair mudah terbakar ke seluruh rumah, manakala seorang lagi dilihat menyalakan batang mancis dan membalingnya ke rumah berkenaan.

Kebakaran besar berlaku di rumah itu selepas percubaan ketiganya.

Selain itu, sebuah basikal dan motosikal yang diletakkan di luar rumah turut musnah dalam kebakaran tersebut.

Menurut polis, ketiga-tiga suspek sedang diburu manakala siasatan berhubung kejadian itu sedang dijalankan.

Polis turut meneliti rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) yang dipasang di kawasan itu untuk mengenal pasti suspek. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram