[VIDEO] Cemas! Ahli Parlimen dikejar ke hospital lepas kena tumbuk


  • Benua
  • Rabu, 07 Dis 2022

Pergaduhan dikatakan sering berlaku dalam kalangan ahli Parlimen Turkiye. — Agensi

SEORANG ahli politik terkemuka di Turkiye, Huseyin Ors dikejarkan ke sebuah hospital selepas beliau dipukul dalam satu pergaduhan di Parlimen di Ankara, lapor portal berita Metro UK pada Selasa.

Ors, ialah seorang anggota Parlimen dari parti pembangkang, Good Party. Beliau dilaporkan ditumbuk di muka dan ekoran di dalam dadanya terdapat perentak jantung, menyebabkan beliau diletakkan di bawah penjagaan kecemasan.

Aylin Cesur iaitu seorang lagi anggota Parlimen daripada Good Party yang juga seorang doktor perubatan merawat rakan sejawatnya itu sebelum ambulans tiba di lokasi kejadian.

“Rawatannya diteruskan di unit rawatan rapi kerana keadaannya yang mengancam nyawa. Saya berharap peristiwa sebegini tidak akan berulang lagi,” kata Cesur kepada stesen penyiaran T24.

Satu rakaman televisyen menunjukkan berpuluh-puluh ahli politik menolak dan menampar antara satu sama lain di dalam bangunan Parlimen itu dengan sekurang-kurangnya seorang daripada mereka jatuh ke lantai.

Setakat ini, punca yang menyebabkan perbalahan itu berlaku masih lagi tidak jelas tetapi ia berlaku semasa sesi perbahasan mengenai bajet tahun depan.

Ketegangan semakin memuncak dalam politik Turkiye kerana negara itu akan mengadakan Pilihan Raya Presiden dan Pilihan Raya Parlimen pada Jun 2023.

Jurucakap Good Party, Kursad Zorlu berkata: “Ia adalah hari yang menyedihkan bagi pihak Perhimpunan Kebangsaan Besar Turkiye dan hari yang memalukan bagi mereka yang melakukan serangan itu.” — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram