Rakaman seram pontianak merangkak di bilik asrama perempuan


  • Benua
  • Isnin, 24 Okt 2022

Tangkap layar rakaman tular penampakan lembaga putih seolah-olah kuntilanak di sebuah sekolah berasrama di Sampang. — Agensi

KEJADIAN penampakan satu lembaga putih di sebuah sekolah berasrama penuh yang dirakam televisyen litar tertutup (CCTV) tular di media sosial.

Menerusi video itu, kelihatan lembaga menyerupai seorang wanita berambut panjang dan berpakaian putih merangkak seakan-akan mencari sesuatu di dalam sebuah bilik asrama perempuan.

Bogor Daily melaporkan kejadian menyeramkan itu berlaku semasa para pelajar pulang bercuti ke rumah masing-masing.

Kejadian penampakan lembaga menyerupai kuntilanak itu dipercayai berlaku pada malam Jumaat lepas di sekolah Pondok Pesantren Nurul Ulum, Sampang, Indonesia.

“Viral, satu kelibat dirakam kamera CCTV di sebuah sekolah di daerah Sampang," tulis kapsyen dalam video asal yang dimuat naik oleh akaun Instagram @agus_sm158.

Turut dinyatakan bahawa sekolah itu kosong kerana semua pelajar sudah pulang, manakala hanya pelajar senior yang ditugaskan menjaga dapur.

Tiada maklumat lanjut berhubung kejadian tersebut sama ada ia merupakan kejadian benar atau palsu. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram