Dituduh mencabul, lelaki kena ganyang 2 wanita di medan selera


  • Benua
  • Isnin, 12 Sep 2022

Tangkap layar video tular kekecohan pergaduhan di sebuah medan selera di Singapura, pada 9 September lalu. — Agensi

INSIDEN kekecohan di sebuah medan selera membawa kepada penahanan seorang lelaki dan wanita masing-masing berusia 50 dan 45 tahun.

Kedua-dua individu itu dipercayai bergaduh di tempat awam hingga mendatangkan kecederaan kepada satu sama lain.

Pergaduhan mereka dirakam pengunjung medan selera sebelum tular di media sosial selepas dikongsikan laman Facebook Page Sg Chinese Community.

Dalam video itu kelihatan seorang lelaki berbaju merah mengasari seorang wanita dan cuba dileraikan oleh seorang lagi lelaki lain yang mengenakan baju berwarna hitam.

Suspek berbaju merah kemudian dilihat terjatuh sebelum wanita terbabit mengambil kesempatan 'mengerjakannya' dengan dibantu seorang lagi perempuan berbaju putih.

Difahamkan, ketika pergaduhan itu berlaku, mangsa memukul suspek dengan botol arak hingga mukanya cedera dan berlumuran darah.

Tangkap layar video tular kekecohan pergaduhan di sebuah medan selera di Singapura, pada 9 September lalu. — Agensi

Suspek kemudian secara tiba-tiba bingkas bangkit dan menghayunkan tangan hingga sikunya terkena perempuan berbaju putih.

Ekoran kekasaran itu, lelaki berbaju hitam lantas meninggikan suara dan meminta suspek menjauhi kedua-dua wanita berkenaan. Pada masa sama, suspek turut dibaling dengan kerusi.

Selepas beberapa ketika, kelihatan beberapa anggota polis datang untuk mententeramkan keadaan. Suspek juga diberi rawatan segera di lokasi kejadian.

Sementara itu, polis berkata, mereka dimaklumkan mengenai kes pergaduhan di Taman Jurong Food House, 101 Yung Sheng Road, Singapura pada pukul 9.36 malam, 9 September lalu.

Lelaki terbabit ditahan kerana disyaki melakukan perbuatan tidak senonoh dengan mencabul salah seorang perempuan terbabit.

Siasatan lanjut masih berjalan ketika ini. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram