Akibat sekolah salah isi data, 2 tahun murid terseksa belajar atas lantai


  • Benua
  • Rabu, 03 Ogos 2022

Murid di SDN Banjarsari, Kampung Cirangkong, Subang, terpaksa duduk di atas lantai kerana sekolah itu tidak dapat menyediakan meja dan kerusi. — Agensi

PULUHAN murid di sebuah sekolah di daerah Subang terpaksa mengikuti sesi pembelajaran dalam keadaan daif sejak dua tahun lalu kerana tidak memiliki meja dan kerusi.

Murid-murid di tiga buah kelas di Sekolah Dasar Negeri (SDN) Banjarsari, Kampung Cirangkong, Subang itu terpaksa belajar di atas lantai. Keadaan yang berlarutan sejak 2018 itu menyebabkan mereka perlu menanggung sakit badan kerana harus belajar dalam keadaan membongkok.

Seorang murid darjah 5, Syahila Putri Raihah berharap pihak sekolah dapat menyediakan meja dan kerusi supaya murid-murid dapat mengikuti sesi pembelajaran dalam suasana yang selesa.

"Sudah dua tahun kami belajar sebegini (duduk atas lantai). Saya sentiasa rasa sakit semasa belajar," kata Syahila.

Sementara itu, guru SDN Banjarsari, Idris berkata, pihak sekolah sudah meminta bantuan Dinas Pendidikan (Disdik) Kabupaten Subang bagi penyediaan meja dan kerusi sejak 2018.

“Tetapi (permintaan bantuan) masih belum mendapat maklum balas,” kata Idris.

Mengesahkan keadaan itu, Pakar Perancang Disdik Subang, Dudi Awaludin berkata, keadaan itu berlaku berikutan pihak sekolah tidak mengisi data asas pendidikan (Dapodik) dengan maklumat tepat.

Dalam data itu, pihak SDN Banjarsari memaklumkan bahawa sekolah tersebut lengkap dengan fasiliti termasuk perabot sekali gus menyebabkan ia terkecuali daripada menerima bantuan.

"Data Dapodik menyebut hal berbeza, jadi bantuan tidak dapat diturunkan. Namun kini, data tersebut sudah dikemas kini.

"Disdik Subang cuba mencari jalan penyelesaian supaya pelajar boleh belajar menggunakan kerusi dan meja,” kata Dudi Awaludin. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram