Penumpang 'skytrain' diberi amaran awasi 'tamparan rambut'


  • Benua
  • Khamis, 23 Jun 2022

BTS Skytrain terpaksa mengeluarkan amaran berjaga-jaga kepada individu berambut panjang agar tidak mengganggu penumpang lain. — Agensi

PERKHIDMATAN Sistem Transit Bangkok (BTS) Skytrain menasihatkan penumpang yang memiliki rambut panjang agar berhati-hati kerana berpotensi mengundang masalah kepada individu lain.

Menerusi kenyataan yang dikongsikan di Facebook, kejadian tersebut kerap berlaku terutama pada waktu puncak.

Penumpang berambut panjang khususnya wanita akan 'melibas' rambut mereka sehingga mengenai bahagian mata dan wajah penumpang lain.

Memetik laporan Bangkok Post, tindakan terbabit diambil selepas menerima banyak aduan pelanggan yang meminta supaya menyelesaikan masalah berkenaan.

"Anda harus memegang pada hujung rambut panjang apabila ingin memusingkan kepala, memalingkan muka, berjalan melepasi penumpang lain atau saat keluar masuk dari kereta api," kata BTS Skytrain di Facebook.

Arahan itu lantas menarik perhatian masyarakat yang menyifatkan ia sebagai satu perkara mencuit hati.

Hal ini kerana terdapat bermacam ragam penumpang saat menaiki kereta api seperti berjalan-jalan dengan rambut basah dan menyisir rambut palsu di dalam gerabak kereta api.

"Tidakkah kalian melihat ini sebagai satu perkara yang lucu. Namun, sebagai penumpang, saya menuntut hak," ujar seorang pengguna di Facebook.

Selainnya, ada juga meminta agar BTS menyediakan semula tempat duduk di beberapa gerabak ekoran dibuang atas alasan untuk memberi ruang berdiri lebih luas semasa waktu sibuk.

Dianggarkan sekitar 1.04 juta penumpang pada bulan Mei manakala purata 335,500 individu sehari akan menggunakan perkhidmatan tren itu.

Data berkenaan dikumpulkan dari dua laluan utama iaitu Mo Chit ke On Nut dan Stadium Nasional ke Jambatan Taksin. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram