PRESIDEN Joe Biden tidak berhasrat menghantar tentera Amerika Syarikat (AS) untuk berperang di Ukraine, menurut jurucakap Rumah Putih, Jen Psaki pada Khamis.
"Pendirian itu tidak berubah," Psaki berkata pada satu sidang media.
Beliau berkata, Washington akan bertindak balas dengan mengenakan sekatan ekonomi yang ketat berikutan campur tangan Rusia di Ukraine.
Ditanya berhubung kemungkinan perang nuklear selepas Presiden Rusia Vladimir Putin memberi amaran mereka yang menyokong Ukraine bakal menerima "akibat”, Psaki berkata: "Kami tidak melihat sebarang peningkatan ancaman setakat ini."
Psaki turut memaklumkan AS bersedia memberi peruntukan bantuan kemanusiaan "lebih besar” kepada Ukraine.
Dari segi bantuan kemanusiaan, kami telah menyalurkan bantuan terbesar bernilai US$ 52 juta kepada Ukraine tahun lepas.
"Sejak beberapa minggu lalu, kami juga menyediakan pembiayaan tambahan dan bekalan kepada organisasi kemanusiaan," tambahnya.
AS turut mengecam laporan mengenai kakitangan kemudahan penyimpanan sisa nuklear Chernobyl di Ukraine dijadikan tebusan dan menggesa mereka dibebaskan, tambahnya.
Terdahulu, penasihat presiden Ukraine, Mykhailo Podolyak berkata, Kyiv telah hilang kawalan ke atas loji janakuasa di utara negara itu selepas pertempuran sengit dengan tentera Rusia.
Putin mengumumkan operasi ketenteraan di Ukraine pada Khamis, beberapa hari selepas Kremlin mengiktiraf dua wilayah di timur Ukraine, sehingga mengundang kecaman antarabangsa dan sekatan lebih ketat ke atas Moscow.
Presiden Ukraine, Volodymyr Zelenskyy menandatangani dekri pada Jumaat mengenai pemindahan penduduk secara besar-besaran berikutan serangan Rusia.
Beliau berkata, 137 orang termasuk orang awam terbunuh pada hari pertama operasi ketenteraan Rusia.
Dalam pada itu, Ketua Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (Nato), Jens Stoltenberg memaklumkan perikatan tersebut tidak berhasrat untuk menghantar pasukan tentera mereka ke Ukraine selepas kempen pencerobohan Rusia bermula pada Khamis.
Setakat ini, tiada pasukan tempur Nato di Kiev, ujarnya selepas mesyuarat tergempar bersama wakil perikatan tersebut.
Menurutnya, Nato hanya akan memulakan 'pelan pertahanan' untuk memperkukuhkan keselamatan di Eropah Timur walaupun tindakan itu dijangka mengeruhkan lagi krisis tersebut.
"Apa yang kami mahu jelaskan adalah, kami telah meningkatkan jumlah kehadiran tentera Nato di sayap timur wilayah perikatan kami," jelasnya.
Beliau bagaimanapun tidak memberi butiran tentang 'pelan pertahanan' tersebut yang dikatakan akan memberi kuasa lebih meluas kepada komander tentera di bawah garis panduan yang ditentukan secara politik.
Tambahnya lagi, penempatan itu akan melibatkan 40,000 anggota pasukan tindak balas pantas termasuk 7,000 anggota kebanyakannya adalah tentera Perancis yang dalam keadaan siap siaga. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram